Latar belakang Syed Mokhtarsyed mokhtar

- Umur - 53 tahun
- Pendidikan - SPM
- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
- Kekayaan - RM1,425 juta
- Ke 7 terkaya di Malaysia
- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
- Kereta - Proton Perdana
- Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000
pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen
untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk
Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang
tak mampu untuk tunaikan haji.

- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula
Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau
menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang
malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan
pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada
masa di bawah.

Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok
mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita
tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika
ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana
bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai
persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak
mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu
berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum
pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak
mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau
ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina
kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu
kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada
kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju
kita perlu berusaha.

Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya
belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya
mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu
kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan
dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang
saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa
lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa.
Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik,
di bandar berpecah kerana ini (wang).

Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk
saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang
saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang
sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti
orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur
kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang
perlukan bantuan.

Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain
pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang,
esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat
kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya
satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah
adalah tugas seharian.

Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi
sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu
pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita
dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih,
tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara
ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai

Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya
terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air,
ada setengah gelas pun saya bersyukur.

Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir
kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau
saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan)
apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada
diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama.
Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada
kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Kepada anak-anak ibu….. dan kawan-kawan ku sekalian……

” Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan di dunia; dan amal-amal
soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala
balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”

(Surah Al-Kahfi: Ayat 46)